Sanitasi Data Logikal
Sanitasi Data Logikal merupakan proses sanitasi data pada media elektronik menggunakan kaedah logikal bagi memastikan data dan maklumat yang tersimpan tidak lagi boleh diakses atau dipulihkan melalui kaedah pemulihan data yang lazim. Proses ini dilaksanakan menggunakan kaedah yang bersesuaian, seperti penulisan ganti (overwriting) atau kaedah logikal lain yang disokong oleh media elektronik, tanpa merosakkan media tersebut. Sanitasi data logikal membolehkan media elektronik digunakan semula dengan selamat serta dilaksanakan mengikut Surat Pekeliling Am Bilangan 4 Tahun 2022: Garis Panduan Sanitasi Media Elektronik Dalam Perkhidmatan Awam dan amalan terbaik NIST SP 800-88 Rev. 1 bagi memastikan keselamatan maklumat serta pematuhan kepada keperluan sektor awam.
Sanitasi Data Fizikal
Sanitasi Data Fizikal merupakan proses sanitasi yang melibatkan pemusnahan media elektronik secara fizikal bagi memastikan data dan maklumat yang tersimpan tidak lagi boleh diakses, dibaca atau dipulihkan melalui sebarang kaedah pemulihan data. Kaedah ini dilaksanakan berdasarkan keperluan Surat Pekeliling Am Bilangan 4 Tahun 2022: Garis Panduan Sanitasi Media Elektronik Dalam Perkhidmatan Awam, khususnya bagi media elektronik yang mengandungi maklumat Terhad, Sulit, Rahsia dan Rahsia Besar atau apabila media elektronik telah mencapai penghujung kitaran hayat, mengalami kerosakan atau akan dilupuskan. Pelaksanaan sanitasi data fizikal hendaklah menggunakan kaedah pemusnahan yang bersesuaian mengikut jenis media elektronik serta selaras dengan amalan terbaik NIST SP 800-88 Rev. 1 bagi memastikan keselamatan maklumat dan pematuhan terhadap keperluan sektor awam.
Pemulihan Data Logikal
Pemulihan data logikal media storan melibatkan proses untuk mendapatkan semula data yang hilang atau rosak daripada peranti seperti pemacu keras, SSD, pemacu USB dan kad memori apabila isu itu disebabkan oleh kegagalan logik dan bukannya kerosakan fizikal
Kemudahan Infrastruktur Makmal
MyDiCLEAN turut menawarkan kemudahan infrastruktur makmal yang terdiri daripada perkakasan dan perisian khusus bagi menyokong amalan sanitasi data logikal dan fizikal. Melalui kemudahan ini, agensi boleh melaksanakan proses sanitasi data secara kendiri menggunakan kemudahan makmal yang disediakan dengan khidmat nasihat teknikal daripada pasukan MyDiCLEAN, sekali gus memastikan pematuhan kepada prosedur dan piawaian yang berkuat kuasa.